GUGUP dan gementar, itulah perasaan yang dirasai pengacara dan penyampai radio, Faizal Ismail, apabila bertanggungjawab menikahkan anak perempuannya, Khairina Iman, dengan pilihan hati, Haziq Asri Zuhaimi di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pada pagi Jumaat.
Faizal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Ismail, 50, berkata, disebabkan terlalu gemuruh, dia berulang kali berlatih menyebut lafaz akad bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
“MasyaAllah, saya ini walaupun nampak selalu bercakap depan orang, guna mikrofon, tapi situasi itu berbezalah.
“Sebab kali ini suasananya untuk kita nikahkan anak sendiri. Memang tak pernah lagi dalam hidup saya. Berbanding buat pengumuman pemenang, itu lain.
“Dah lama saya tak gugup macam ini. Saya tengok berulang kali skrip akad nikah, termasuk nama pengantin lelaki, supaya dapat melafazkan dengan lancar. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan,” katanya kepada mStar.
Pada majlis berkenaan, Faizal memaklumkan anaknya menerima mas kahwin sebanyak RM7,777 berserta lima dulang hantaran berbalas tujuh.
Berkongsi lanjut, Faizal berkata Khairina, 24, dan Haziq, 27, mula berkenalan kira-kira dua tahun lalu sebelum mengikat tali pertunangan pada April lalu.
Menurutnya, dia tertarik dengan keperibadian Haziq yang disifatkan sebagai seorang lelaki yang tenang, penyabar dan mampu melengkapi personaliti anaknya.
“Dia seorang lelaki yang lembut, soft-spoken dan pemalu. Saya rasa itu ciri-ciri yang anak saya suka.

Leave a Reply